Oleh Muhammad Faridzul Azmir Hamid

Roselle atau nama saintifiknya  Hibiscus rosa sabdariffa L. ialah tanaman  yang  terkenal dengan khasiatnya dalam dunia perubatan di Malaysia. Pada asalnya, tumbuhan ini ditanam sekadar untuk dijadikan hiasan. Namun jika sekadar menjadikannya sebagai pokok hiasan, Roselle nampaknya lebih daripada mencukupi memandangkan pokok ini cantik seakan-akan bunga ros, namun khasiatnya yang tinggi telah menjadikannya tanaman untuk kesihatan.

khasiat roselle

Roselle juga dianggap sebagai “pokok emas” kerana setiap bahagiannya mempunyai keistimewaan tertentu  yang bermula daripada buah, daun hinggalah ke batang pokok berkenaan dan boleh dijadikan sajian atau tujuan perubatan tradisional. Sememangnya tumbuhan ini amat bernilai berdasarkan kepada kegunaannya serta mampu menyaingi pokok kelapa atau buluh sebagai pokok serbaguna. Tumbuhan yang tumbuh semusim ini dipercayai boleh membesar dan mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter. Ia mudah membiak dari biji benih dan memerlukan cahaya matahari serta saliran yang baik.

Daunnya berwarna hijau tua dengan pelepah daun yang kemerah-merahan bagaikan sebuah mahkota dari segi bentuknya menjadikan buah ini dilihat sangat unik. Justeru itu, tidak hairanlah sekiranya pokok ini tergolong dalam keluarga Malvaceae dan sama genus (kelas) dengan pokok bunga raya dan bendi yang mampu membuka mata ramai pihak. Roselle ialah antara buah yang agak popular dan sering dijadikan sebagai air minuman kordial. Buah ini juga amat berkhasiat untuk segenap lapisan umur khususnya dalam proses penjagaan kesihatan dan sebagai pencegah dari sebarang jangkitan kuman yang menyerang tubuh manusia.

Kini, tanaman ini dilihat mempunyai peluang dan potensi yang besar untuk dikembangkan menjadi tanaman industri selain meningkatkan sumber ekonomi.

Sejarah ringkas Roselle.

Ada pendapat yang menyatakan Roselle berasal dari India namun ada juga yang menyatakan Roselle berasal dari Afrika Barat. Roselle diperkenalkan di Asia Tenggara melalui Malaysia sejak lebih dari tiga abad yang lalu.
Di Malaysia, Roselle dikenali sebagai asam paya, asam kumbang atau asam susur oleh penduduk tempatan. Di India Barat pula ia disebut sebagai Jamaican sorrel.

Di Afrika, biji Roselle dimakan kerana dipercayai mengandungi minyak-minyak tertentu. Manakala di Sudan, Roselle diproses untuk dijadikan minuman tradisional yang dinamakan Karkadeh minuman kebangsaan orang Sudan.

KHASIAT ROSELLE.

Pensyarah Kanan Program Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, Dr Hasmah Abdullah, berkata Roselle mempunyai khasiat yang sangat tinggi kepada manusia. Ia merupakan satu tumbuhan herba semulajadi yang mengandungi kandungan vitamin C, mineral dan serat.

Tambah beliau, Roselle juga mengandungi pelbagai vitamin seperti vitamin D, B1 dan B2. Selain vitamin, ia juga mengandungi hampir 486mg kalsium, iaitu jumlah yang cukup banyak serta mengandungi Magnesium, Beta-Carotene dan OMEGA-3 serta Antioksidan. Ramai saintis percaya bahawa  pengambilan Roselle akan melambatkan proses penuaan dan mencegah penyakit kronik kerana ia menghadkan kerosakan yang dilakukan oleh radikal lantaran ia kaya dengan antioksidan.

Selain itu, ia juga mampu membantu meningkatkan daya ketahanan tubuh, mengatasi tekanan darah tinggi, mengandungi Flavonoid yang berfungsi sebagai antibiotik bagi membunuh kuman-kuman penyebab penyakit serta menjadi penyaring racun dalam tubuh.
Tambahan pula, Roselle juga mempunyai khasiat yang tinggi bagi mengubati penyakit-penyakit seperti:

  • Mencegah penyakit kardiovaskular.
  • Mencegah kanser
  • Demam panas/selesema.
  • Resdung (alergi) dan lelah (asma).
  • Stress/sukar tidur
  • Melancarkan peredaran darah
  • Mencegah peradangan pada salur kencing dan pembentukan batu karang
  • Mencegah penyakit jantung
  • Mengubati pening kepala/migraine

Penerima Roselle dalam masyarakat Malaysia.

Memandangkan kandungan khasiatnya yang sangat tinggi, Roselle telah diterima baik oleh masyarakat di Malaysia. Potensi produk berteraskan Roselle telah membuka peluang yang besar kepada masyarakat setempat untuk mengusahakan tanaman Roselle secara ladang dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan yang lumayan.

Tidak seperti tanaman lain, Roselle tidak memerlukan penjagaan yang sukar kerana ia hanya perlu disiram sekali atau dua kali sehari sahaja. Cara penjagaan yang mudah ini menyebabkan ramai masyarakat termasuk golongan muda giat mengusahakan tanaman herba ini. Selain itu, permintaan pasaran yang sangat tinggi membolehkan tanaman ini menjana pendapatan yang besar kepada pengusahanya.

Produk berasaskan Roselle kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di Malaysia dan kini ia telah dijadikan sebagai produk makanan seperti jus, kordial, jem, halwa dan sebagainya. Menurut Dr Hasmah Abdullah lagi, suatu masa dahulu kira-kira lewat tahun 1990-an masyarakat di Malaysia telah menggunakan Roselle sebagai salah satu herba yang berkhasiat.

Tambah beliau, pada tahun 1995-1999,  Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mempromosikan jus Roselle, halwa dan beberapa produk Roselle yang lain. Ketika diajukan soalan oleh penulis tentang pandangannya terhadap penerimaan Roselle di Malaysia? Beliau menyatakan bahawa masyarakat tidak berminat untuk memakan buah Roselle secara terus kerana bentuk fizikal buahnya yang sedikit berbulu, masam dan kurang isi.

Walau bagaimanapun, warnanya sangat menarik dan pigmen merahnya kaya dengan antosianin, jadi cara pengambilan Roselle lebih sesuai dalam bentuk jus, halwa, jeruk dan sebagainya.

Sumber : Berita Kampus USM

Please like & share:
Tagged with →  
Share →

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>